Selamat Datang Ke Blog ChekguChantek.
RSS

Tuesday 7 August 2012

Home



Tekanan Emosi dalam 
Kalangan Kanak-kanak


Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus dalam kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus dalam kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus dalam kalangan dewasa. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pakar mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan. Gangguan atau tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan.  Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas. Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.




Jenis dan Implikasi Emosi 
Terhadap Kanak – Kanak


Gembira – membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.

Marah – membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.

Takut – rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.

Sedih – Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.

Geli – Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.

Cemas – Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.

Malu – Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Rasa bersalah – wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari standard tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.

Rasa bangga – tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati atau dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.